Sejak saya menyambung pelajaran di peringkat diploma sehingga saya sudah berada di peringkat Ijazah Sarjana Muda, terlalu banyak perkara dan pengalaman baru yang sudah dan sedang saya alami. Ia mengajar saya erti kesabaran, ketabahan dan kekuatan serta berdikari. Sepanjang saya bergelar mahasiswi, saya menyedari bahawa diri saya banyak kekurangan dan daripada pengalaman tersebut, saya dapat memperbaiki kelemahan dan belajar perkara baru. Saya juga belajar bahawa saya tidak patut tertekan dengan perkara yang tidak dapat saya kawal. Saya belajar bahawa setiap orang mempunyai prinsip dan pegangan yang berlainan dan cara untuk mendekati setiap salah seorang daripada mereka adalah berbeza. Saya selalu berfikir bahawa kehidupan bekerja mungkin lagi mudah daripada kehidupan belajar tetapi hakikatnya, itu tidak benar. Ke mana sahaja kita pergi, kita akan sentiasa berhadapan dengan situasi yang sama kerana kehidupan kita tidak akan lari daripada masalah. Kehidupan bukan ertinya untuk kita berasa sedih dan tertekan dengan segala masalah yang ada tetapi Ia bererti bagaimana cara kita menangani masalah yang kita hadapi dan bagaimana cara kita bawa diri. Ianya semua bergantung terhadap diri kita sendiri.